top of page
Search

Kebobrokan Dalam Isu Dokumentasi

  • Writer: Admin
    Admin
  • Jan 16, 2025
  • 3 min read

Oleh: Siti Rahayu Baharin


Pagi tadi, saya berbual dengan seorang lelaki pendatang tanpa izin yang berkongsi pengalaman ditahan oleh pihak berkuasa dan diminta membayar RM300. Dengan hanya RM200 di tangannya, pihak berkuasa tersebut mengambil apa yang dia ada. Saya jadi marah! Marah kepada pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan masyarakat, dan juga kepada kegagalan sistemik yang terus-menerus memperbesar kitaran penderitaan dan ketidakadilan.


Kita mulakan dengan isu yang jelas: rasuah. Pihak berkuasa tadi jelas adalah penjawat awam yang dibayar oleh kerajaan untuk menegakkan undang-undang dan melindungi masyarakat. Tindakan seperti ini mengkhianati amanah tersebut. Memeras wang daripada individu yang terdedah bukan sahaja tidak beretika tetapi juga jenayah. Namun, cerita ini bukanlah kes terpencil; ia mencerminkan kerosakan sistemik yang lebih mendalam.


Tetapi bagaimana pula dengan lelaki tersebut? Dari segi undang-undang, dia tidak sepatutnya berada di sini. Kehadirannya adalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar; jaringan kompleks individu tanpa dokumen yang sah, ramai di antaranya mempunyai anak yang lahir dalam situasi tidak menentu ini. Anak-anak ini sering kali menjadi mangsa hidup tanpa kenegaraan, terperangkap dalam kitaran peminggiran yang berterusan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Punca utama krisis ini sangat banyak, dan untuk menyelesaikannya, kita perlu menghadapi kebenaran yang sukar.


Adakah sempadan kita bocor? Bagaimana orang dewasa ini boleh memasuki negara ini secara haram? Bukankah sempadan kita dijaga? Adakah kisah “lubang tikus” laluan rahsia untuk mengelak pemeriksaan rasmi benar-benar wujud? Kita juga sedar terdapat kelemahan dalam sistem yang sangat ketara apabila individu yang telah ditangkap, dihantar pulang, dan disenaraihitamkan boleh kembali ke negara ini kurang dari 5 tahun. Di mana salahnya? Di mana lopongnya? Di mana bocornya? Di mana ketegasan? Jika tiada rasa takut terhadap tindakan undang-undang, kitaran ini akan terus berulang.


Dimensi lain masalah ini adalah mereka yang masuk secara sah, biasanya dengan pasport pelancong, tetapi tinggal melebihi tempoh. Mereka bekerja, menetap, dan membina keluarga. Anak-anak mereka yang lahir di sini mewarisi masalah dokumentasi ibu bapa mereka dan seterusnya dinafikan hak kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan martabat asas untuk diiktiraf. Kemudian, ada juga pekerja migran yang sah tetapi melarikan diri daripada majikan yang menindas, menjadi tidak berdokumen demi meneruskan kelangsungan hidup. Sekali lagi, sistem gagal melindungi golongan rentan dan secara tidak langsung memperburuk masalah ini.


Dalam semua senario ini, persoalan besar timbul: di mana pihak berkuasa? Apakah tindakan yang diambil untuk menangani kesalahan-kesalahan ini? Pastinya banyak tindakan yang telah diambil dan pastinya banyak operasi-operasi telah dijalankan. Namun, pada khabar-khabar yang di bawa angin bahawa mungkin ada hal rasuah di kalangan mereka yang diamanahkan untuk menjaga dan menguatkuasakan undang-undang sempadan melemahkan sebarang usaha untuk melakukan pembaharuan sistemik. Jika ini benar, ianya tidak boleh dianggap sebagai masalah “akar umbi” yang terlalu sukar untuk ditangani. Ketidakpedulian adalah satu bentuk pengkhianatan.


Hal ini tidak berkahir di episod ini sahaja, semasakita sedang menulis, berbincang, berdebat dan berlengah, mangsa paling menyedihkan dalam krisis ini adalah anak-anak yang lahir terperangkap oleh keadaan. Dilahirkan tanpa dokumen yang sah, mereka kehilangan hak sejak lahir. Tiada akses dan hak kepada rawatan kesihatan, bersekolah, atau hidup dengan maruah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap kanak-kanak. Mereka tidak kelihatan di mata masyarakat, tetapi penderitaan mereka sangat nyata.


Mungkin ini masanya untuk berhenti memberi alasan. Ya, kesilapan telah dilakukan, dan masalah ini rumit. Tetapi mengakui betapa besarnya cabaran ini tidak seharusnya membuat kita berdiam diri. Sebaliknya, ia seharusnya mendorong kita untuk bertindak. Kita mesti menangani rasuah, menguatkuasakan kawalan sempadan dengan berkesan, dan mewujudkan laluan untuk mereka yang sudah berada di sini untuk menyelesaikan status mereka. Bagi kanak-kanak, kita mesti mengutamakan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan perlindungan tanpa mengira status mereka.


Sebagai rakyat biasa, saya takut untuk menulis ini. Saya risau jika suara saya akan membawa kepada panggilan daripada pihak berkuasa. Tetapi saya rasa terpanggil untuk bersuara. Saya tidak sanggup melihat lebih ramai kanak-kanak menderita, hidup tanpa maruah dan peluang. Penderitaan mereka menuntut kita mengetepikan ketakutan dan bertindak.


Kita memerlukan keazaman kolektif daripada penggubal dasar, masyarakat sivil, dan individu untuk menangani isu ini secara langsung. Jalan di hadapan memang panjang dan penuh cabaran, tetapi kos tidak bertindak adalah jauh lebih besar. Setiap hari kita berlengah, lebih banyak nyawa terjerat dalam kitaran keputusasaan ini.


Marilah kita mencari keberanian untuk bermula. Di mana-mana, dengan cara apa sekalipun, kita mesti mula membetulkan kekacauan yang kita semua tahu wujud. Demi kanak-kanak yang tidak boleh bersuara untuk diri mereka sendiri, demi nyawa yang tidak bersalah yang terperangkap dalam jaringan yang tidak mereka cipta, dan demi masa depan masyarakat kita, marilah kita bertindak sekarang.


Siti Rahayu Baharin adalah pengasas Buku Jalanan Chow Kit dan merupakan salah seorang Pengarah Mandiri. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Mandiri sebagai sebuah organisasi. Hantarkan tulisan anda kepada hello@mandiri.my

 
 
 

Recent Posts

See All
RUANG AWAM MILIK RAKYAT!

Kenyataan Media MANDIRI 14 Mei 2025 Ruang Awam Milik Rakyat! MANDIRI dengan tegas mengecam kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur...

 
 
 

Comments


CONTACT

RUMAH MANDIRI

32, Jalan Terus 4/42, Seksyen 4

Petaling Jaya, 46050, Selangor

Malaysia

 

hello@mandiri.my

  • Facebook
  • Instagram
  • X
  • LinkedIn

Questions?

Leave us a message:

Contact us

© 2024 by MANDIRI - Pusat Pembangunan Rakyat

bottom of page