Bantahan Terhadap Pembaziran Dana Rakyat Untuk Sambutan Hari Keputeraan TYT Sabah
- Media
- May 7
- 1 min read
Kenyataan Media MANDIRI 28 Mac 2025
Bantahan Terhadap Pembaziran Dana Rakyat Untuk Sambutan Hari Keputeraan TYT Sabah
Rancangan kerajaan Sabah meluluskan peruntukan untuk mengadakan 7 acara bagi meraikan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman, adalah tidak perlu dan merupakan satu bentuk pembaziran melampau terhadap duit rakyat. Mandiri dengan tegas menggesa agar amalan pembaziran yang langsung tidak ada keperluan dan kebaikan ini dihentikan.
Adalah tidak masuk akal untuk membelanjakan dana awam yang bagi meraikan seorang individu ketika Sabah masih bergelut dengan pelbagai isu mendesak seperti; pembangunan infrastruktur yang ketinggalan, sistem pendidikan yang memerlukan penambahbaikan, sistem kesihatan yang masih kekurangan kemudahan, dan banyak lagi.
Tidak kira lah sama ada ia dikurangkan dari tahun sebelumnya, atau sebaliknya, faktanya program sebegini tidak ada langsung kebaikan kepada rakyat, sedangkan ia boleh dibelanjakan untuk hal yang lebih mendesak.
Jangan dilupakan, dari 10 daerah termiskin di seluruh negara, 8 darinya di Sabah. Hampir 40 peratus miskin tegar berada di Sabah. Peratusan miskin tegar di Sabah 6 kali ganda berbanding kadar nasional.
Justeru, MANDIRI mendesak kerajaan Sabah untuk:
1. Membatalkan peruntukan bagi sambutan ulang tahun tersebut.
2. Kerajaan Sabah perlu menjelaskan mengapa dana awam digunakan untuk mengadakan 7 acara bagi sambutan ulang tahun seorang individu.
3. Mengalihkan peruntukan tersebut kepada sektor yang benar-benar memerlukan.
Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membiayai sambutan yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat. Duit rakyat sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan seorang individu yang dilantik tanpa mandat rakyat.
Jika kerajaan Sabah terus membazirkan duit rakyat untuk kepentingan golongan elit, maka jangan salahkan rakyat jika mereka bangkit melawan dan menuntut hak mereka secara lebih lantang!
Kenyataan bersama oleh:
Wong KuKui & Hamdin Nordin
MANDIRI
Comments