SABAH MAJU JAYA? SABAH TIDAK AKAN MAJU SELAGI PEMIMPIN LAMA TERUS BERKUASA
- Admin
- Dec 18, 2024
- 2 min read
Updated: May 7

MANDIRI menzahirkan kekecewaan diatas pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11. Ia satu langkah ke belakang yang hanya mengekalkan status quo kepimpinan gagal dan membiarkan rakyat Sabah terus terperangkap dalam kemiskinan.
Sepanjang 15 tahun pentadbiran Musa Aman sebagai Ketua Menteri, Sabah kekal sebagai salah satu negeri termiskin di Malaysia. Walaupun Sabah kaya dengan sumber asli, kepimpinan beliau telah membuktikan kegagalan dalam mengurus sumber ekonomi Sabah dengan telus dan cekap. Budaya kroni, pembaziran wang rakyat, dan keputusan yang tidak langsung membantu rakyat biasa menyebabkan Sabah terus mundur. Sekolah rosak, jalan berlubang, peluang kerja yang kurang; semua ini berpunca daripada kepimpinan yang gagal.
Perdana Menteri sendiri, ketika masih dibangku pembangkang, pernah mengkritik pembebasan pertuduhan rasuah keatas Musa Aman, dan menyebut ianya memberi gambaran ‘ramai lagi jerung lain yang akan dilepas dan dibebaskan’. Kini beliau, dan kawan-kawan yang dibangku kuasa, bertukar nada.
Pelantikan ini, yang kononnya atas nama kesinambungan, adalah satu penghinaan terhadap rakyat Sabah yang telah lama menanggung beban kegagalan pemimpin negeri. Lebih membimbangkan, Ketua Menteri sedia ada, Datuk Seri Hajiji Noor, turut menyumbang kepada masalah ini dengan retorik Sabah Maju Jaya yang kosong dan tidak berasas, sedang beliau sendiri terpalit dengan skandal yang masih belum selesai sehingga kini. Janji pembangunan tidak lebih daripada alat politik untuk mengekalkan kuasa elit, sementara rakyat Sabah terus terabai.
MANDIRI ingin menegaskan bahawa Sabah tidak memerlukan pemimpin-pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi gagal melaksanakan reformasi institusi dan struktur yang diperlukan. Cukup-cukuplah Sabah dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mewarisi budaya lama - budaya mementingkan diri, salah urus tadbir, dan kegagalan untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang progresif, telus, dan berani melakukan perubahan besar demi kemajuan sebenar. MANDIRI menyeru rakyat Sabah untuk bersatu menolak pemimpin-pemimpin lama yang telah terbukti gagal. Sabah memerlukan perubahan besar, bukan sekadar penjenamaan semula kepimpinan usang yang hanya memberi keuntungan kepada golongan elit.
Kami akan terus bersama rakyat Borneo, mendesak perubahan yang sebenar, dan memastikan kepimpinan bertanggungjawab terhadap masa depan negara ini.
Wong Kueng Hui
Pengarah, MANDIRI Borneo
Comentários