top of page

Pelantikan Anak TPM Di UPM: Budaya Nepotisme Berleluasa

  • Writer: MANDIRI
    MANDIRI
  • Jan 16, 2025
  • 1 min read

Updated: 19 hours ago

Kenyataan Media MANDIRI | 16 Januari 2025



MANDIRI dengan tegas menentang pelantikan Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM). Pelantikan ini mencerminkan budaya nepotisme dan kronisme yang jelas bertentangan dengan prinsip reformasi yang ditekankan oleh Kerajaan Madani.


Keputusan ini menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen kerajaan dalam menegakkan prinsip meritokrasi dan tata kelola yang baik. Jelas keputusan seperti ini memberikan gambaran yang sebaliknya. Ia mengundang persepsi bahawa janji reformasi hanya sekadar retorik tanpa pelaksanaan yang konkrit. Sekiranya budaya nepotisme dan kronisme dibiarkan berleluasa, ia akan melemahkan usaha pembaharuan dan akan terus merosakkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.


Mandiri menggesa kerajaan memastikan agar proses pelantikan ke jawatan penting di institusi awam dilakukan secara telus, berasaskan merit, kelayakan, pengalaman, serta bebas daripada pengaruh politik. Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan prinsip reformasi yang dijanjikan dapat direalisasikan.


Kerajaan bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa ia benar-benar komited terhadap pembaharuan yang dijanjikan. Jangan biarkan keputusan seperti ini menghakis kepercayaan masyarakat terhadap integriti proses pengambilan keputusan dalam pentadbiran awam dan mengkhianati harapan rakyat untuk perubahan yang lebih baik.


Wong KuKui,

MANDIRI


*Kredit gambar: Media Umno

 
 
 

Comments


bottom of page