top of page

Sekretariat Himpun Lancar Kempen Rampas Ruang Awam

  • Writer: MANDIRI
    MANDIRI
  • Jun 12, 2025
  • 2 min read

Kenyataan Media Bersama, Sekretariat Himpun | 12 Jun 2025



Sekretariat Himpun, satu gabungan bebas pemantau hak berhimpun, ingin mengumumkan pelancaran KEMPEN RAMPAS RUANG AWAM, sebuah usaha kolektif yang diterajui masyarakat sivil dan gerakan mahasiswa. Ahli gabungan ini merangkumi MANDIRI, BERSIH, SUARAM, FEDERASI PEMUDA KEBANGSAAN, GERAKAN PEREMPUAN MELAWAN, LAWYER FOR LIBERTY, LIGA MAHASISWA MALAYSIA, MAHASISWA DEMOKRATIK MALAYSIA, dan PARTI SOSIALIS MALAYSIA.


Kempen ini lahir daripada keperluan mendesak untuk memulihkan kembali ruang demokrasi rakyat yang selama ini disempitkan oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) atau Akta 736.


Sekretariat Himpun akan bertindak sebagai badan pemantau bebas, meletakkan standard hak asasi manusia dan prinsip keselamatan rakyat sebagai asas reformasi akta ini menjelang sesi Parlimen Oktober akan datang. Sekretariat Himpun menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari 2025 di sidang Parlimen berkenaan dengan keizinan pemilik tempat yang sering kali digunakan sebagai alat untuk menyekat rakyat menggunakan hak untuk berhimpun dan bersuara.


Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa kerajaan wajib menjalan libat urus telus dalam proses pindaan APA 2012 secara langsung dengan pemegang taruh, ini selaras dengan prinsip akauntabiliti dan demokrasi berpartisipasi, agar pindaan yang dibuat benar-benar mencerminkan suara rakyat.


Tiga tuntutan utama Sekretariat Himpun:


1. Pengiktirafan hak untuk mengadakan perhimpunan spontan tanpa sebarang keperluan notis kepada pihak polis.


Undang-undang sedia ada yang menetapkan notis 5 hari sering digunakan untuk menyekat reaksi segera terhadap isu mendesak. Maka, pindaan perlu memperuntukkan secara jelas bahawa perhimpunan spontan dikecualikan daripada sebarang kewajipan memberi

notis.


2. Pemansuhan peruntukan-peruntukan hukuman terhadap penganjur dan peserta perhimpunan aman.


Ini termasuk pindaan terhadap peruntukan yang menjadikan kesalahan ke atas ketidakpatuhan prosedur (seperti tidak beri notis) walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman. Prinsip utama yang perlu ditegakkan adalah peaceful by default, di mana himpunan aman tidak patut dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.


3. Pindaan terhadap larangan-larangan yang bersifat diskriminatif dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.


Ini termasuk peruntukan dalam APA yang melarang individu bawah umur 21 tahun daripada menganjurkan perhimpunan, serta peluasan hak untuk berhimpun kepada bukan warganegara.


Hakikatnya, undang-undang yang ada pada hari ini lebih kepada mengawal daripada melindungi hak untuk berhimpun. Penindasan terhadap perhimpunan aman boleh menjadi petunjuk awal kepada kemerosotan demokrasi dan kebangkitan autotarianisme. Sekretariat Himpun menyeru semua pihak, untuk sertai kami dalam kempen ini. Sejarah menunjukkan bahwa kuasa tidak pernah memberikan ruang dengan rela hati, ia harus diperjuangkan. Demonstrasi bukan sekadar hak, ia adalah tanggungjawab setiap warganegara. Tanpa rakyat yang berani berhimpun dan bersuara, demokrasi menjadi sekadar ritual 5 tahun sekali.


SEKRETARIAT HIMPUN


  1. MANDIRI

  2. Liga Mahasiswa Malaysia

  3. Federasi

  4. Gerakan Perempuan Melawan

  5. Demokratik Mahasiswa

  6. Lawyers For Liberty

  7. SUARAM

  8. Bersih

  9. Parti Sosialis Malaysia


*Kredit gambar: Haspaizi Zain | Malaysiakini

 
 
 

Comments


bottom of page