Tangkapan Tanpa Sebab & Kekerasan Fizikal: MANDIRI Desak Siasat Anggota Polis Dan Laksana Segera IPCMC
- MANDIRI

- Jun 29, 2025
- 2 min read
Updated: Jul 26
Kenyataan Media MANDIRI | 29 Jun 2025

Perhimpunan aman Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung pada 28 Jun 2025 sekali lagi membuka pekung institusi penguatkuasa negara ini yang masih jauh daripada prinsip kebertanggungjawaban dan tata kelola yang adil.
Insiden kekerasan fizikal oleh Inspektor Zulfekar (No. Badan: 23197) terhadap aktivis mahasiswa, saudara Ahsanul Akmal, berlaku secara terang-terangan semasa persembahan teater sedang berlangsung.
Tiada ancaman keselamatan, tiada unsur provokasi, melainkan tindakan simbolik yang jelas mempersoalkan kegagalan reformasi institusi dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah. Dakwaan bahawa pihak polis hanya mahu mengambil suar (flare) adalah satu bentuk pengalihan isu yang tidak berasas dan bersifat memperbodohkan rakyat.
Lebih menjijikkan apabila pihak polis mengambil masa lebih sejam untuk memberikan nama dan nombor pegawai yang terlibat, malah turut menuduh para peserta perhimpunan mencederakan anggota mereka.
Tuduhan liar ini hanya mengesahkan betapa pihak polis selama ini lebih cenderung mencipta naratif palsu demi menutupsalah laku sendiri.
Tindakan seperti ini mencerminkan budaya lapuk dalam institusi polis, budaya bebal, budaya menindas, dan budaya anti-rakyat yang langsung tidak mencerminkan prinsip reformasi yang dicanang oleh kerajaan MADANI hari ini.
Justeru, kami menegaskan tuntutan berikut:
1. Siasatan serta-merta terhadap Inspektor Zulfekar (No. Badan: 23197) atas kesalahan salah guna kuasa dan tindakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan.
2. Pelaksanaan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai satu bentuk pengawasan bebas tanpa campur tangan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.
3. Pemakaian kamera badan (bodycam) secara menyeluruh kepada semua anggota polis ketika bertugas, demi memastikan ketelusan dan menyediakan bukti yang tidak dapat disangkal dalam sebarang insiden.
Mandiri ingin mengingatkan bahawa kuasa yang diberikan kepada pihak polis bukan satu lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya.
Institusi yang gagal menjalankan amanah akan hilang kepercayaan rakyat, dan kerajaan yang membiarkan penindasanberlaku akan turut dipertanggungjawabkan.
Jika kerajaan ini benar-benar komited terhadap reformasi, maka tindakan segera dan tegas mesti diambil.
Polis bukan di atas undang-undang. Mereka harus dipertanggungjawabkan.
Hamdin Nordin
Penyelaras Mandiri
*Kredit gambar: C4 Centre



Comments